mutakhir

8,152 hektar sawah diserang penyakit

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat semalam diberitahu kawasan jelapang padi seluas 8,152 hektar di seluruh negara mengalami serangan penyakit termasuk karah tangkai hingga menjejaskan hasil tanaman tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu, seluas 3,400 hektar mengalami serangan penyakit karah daun dan 4,752 hektar pula mengalami penyakit reput tangkai dengan anggaran kerugian masing-masing RM13 juta dan RM19 juta.

Beliau berkata, sehubungan itu, kementerian melalui Jabatan Pertanian melakukan pemantauan berterusan berkaitan ancaman semua jenis penyakit padi serta serangan perosak melalui pengawasan dan ramalan berjadual.

Katanya, pelbagai pakej pengurusan perosak merangkumi kaedah kawalan disediakan kementerian untuk rujukan pegawai dan petani.

“Antara langkah dilakukan kementerian adalah meningkatkan kempen kesedaran kepada petani mengenai kawalan perosak dan penyakit dengan kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB).

“Komponen penting PPB ini ialah menjalankan pengawasan serta ramalan serangan perosak dan penyakit di kawasan tanaman supaya diketahui awal sebelum mendatangkan kerugian teruk kepada petani,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Disiarkan pada: May 27, 2015 @ 9:34am
d