mutakhir

Sita alat ganti klon

Oleh Fardy Bungga

Sungai Buloh: Pemilik kenderaan yang menghantar kenderaan mereka untuk dibaik pulih di bengkel perlu berwaspada berikutan kebanjiran alat ganti tiruan ‘klon’ diseludup dari China.

Malah, sindiket yang mengedarkan alat ganti tiruan itu didapati meniru kotak, pelekat kod bar dan logo bagi meyakinkan mangsa.

Selain itu, risikan mendapati produk alat ganti tiruan berkenaan dijual mengikut harga produk tulen tanpa disedari mangsa.

Kebanyakan pemilik kenderaan hanya menyedari ditipu apabila alat ganti tiruan yang dipasang mengalami kerosakan.

Hal ini terbukti apabila sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Shah Alam menerima aduan mangsa sebelum menyerbu sebuah premis menjual alat ganti di Sungai Buloh di sini, jam 9 pagi, kelmarin.

Jurucakap KPDNKK berkata, sebanyak 33 penapis minyak tiruan dan pelbagai alat ganti menggunakan jenama kereta terkenal dirampas selepas dikesan dijual di premis berkenaan.

Katanya, anggota KPDNKK bertindak menyita semua produk penapis minyak itu untuk siasatan.

“Kami percaya lebih banyak alat ganti palsu akan dirampas KPDNKK berdasarkan risikan.

“Siasatan akan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM330 berdasarkan harga pasaran,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, syarikat yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM15,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda tidak lebih RM30,000.

Katanya, individu pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: May 28, 2015 @ 8:31am
d