mutakhir

Pelanggan pesan makanan diculik empat lelaki

Semenyih: Kakitangan restoran makanan segera di sini, gempar apabila seorang pelanggan lelaki yang sedang beratur di kaunter pesanan sebaliknya diculik sebelum dilarikan empat penjenayah.

Kejadian berlaku jam 12.30 tengah malam kelmarin, ketika mangsa berusia 23 tahun bersama beberapa rakannya sedang berada di premis terletak di Semenyih Sentral.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa diseret masuk ke dalam kereta model Toyota Vios diletakkan di hadapan restoran itu.

Menurutnya, rakan mangsa yang terkejut dengan kejadian itu tidak mampu berbuat apa-apa sebelum menghubungi bapa saudaranya bagi memaklumkan kejadian itu.

“Bapa saudara mangsa kemudian pergi ke Balai Polis Semenyih di sini, pada jam 2.30 pagi untuk membuat laporan polis.

“Bagaimanapun bapa saudara mangsa menerima panggilan telefon dari nombor tidak dikenali dipercayai milik suspek,” katanya.

Menurutnya, bapa saudara mangsa hanya sempat mendengar suara seakan-akan mangsa meminta mengalihkan motosikalnya yang diletakkan di hadapan restoran itu sebelum talian terputus,” katanya.

Ab Rashid Ab Wahab berkata, susulan laporan diterima itu, pihak polis berjaya mengesan kediaman suspek.

“Pada jam 2.45 pagi hari sama, bapa saudara mangsa menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang wanita yang bekerja di sebuah stesen minyak di Semenyih di sini.

“Wanita itu memaklumkan mangsa ditemui dibuang suspek berada di stesen minyak itu dalam keadaan cedera,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis yang tiba di lokasi itu mendapati mangsa cedera di kepala dan calar di bahagian kaki dipercayai dipukul menggunakan besi dan buku lima.

“Susulan itu dua suspek ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Pinggiran Putra, Serdang dan di Seksyen 36, Seri Muda, Shah Alam pada pagi kelmarin.

“Kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 30 tahun. Turut dirampas sebuah kereta model Toyota Vios milik salah seorang suspek,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine selain turut miliki sembilan rekod jenayah termasuk berkaitan dadah dan menyebabkan kecederaan.

“Motif sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2015 @ 9:18am
d