mutakhir

Kaji semula kesan GST berdasarkan aduan rakyat

Kota Kinabalu: Kerajaan akan mengkaji semula kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi disesuaikan dengan kehendak serta keperluan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, kajian itu akan dilakukan berdasarkan kepada aduan dan pandangan diterima pelbagai pihak.

“Setakat ini, aduan diterima melalui Pusat Aduan Pencatutan menunjukkan penurunan kepada 250 sehari berbanding 7,786 aduan pada 1 April lalu.

“Penurunan ini sebenarnya memberi dua persepsi berbeza sama ada rakyat sudah mula memahami GST atau malas membuat aduan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2015, di sini, semalam.

Hasan berkata, rakyat perlu membuat aduan kepada KPDNKK sekiranya berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan GST, sekali gus membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Sementara itu, dalam pemeriksaan mengejut di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu dan beberapa premis sekitar bandar raya, KPDNKK mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM800 kepada empat peniaga selepas didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Hasan berkata, satu kompaun dikeluarkan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 manakala tiga lagi mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Dalam pemeriksaan mengejut tadi (semalam), seorang peniaga wanita dikenakan kompaun RM400 selepas gagal menunjukkan lesen menjual gas petrolium cecair (LPG).

“Seorang penjaja pula dikesan gagal mempamerkan tanda harga merah jambu seperti ditetapkan KPDNKK terhadap barangan di bawah kawalan harga,” katanya.

Hasan berkata, tindakan tegas itu diambil selepas peniaga dan penjaja terbabit masih berdegil walaupun sudah banyak kempen serta arahan dikeluarkan pihak berkuasa sebelum ini.

“Sementara itu, kerajaan sedang mengkaji, meneliti dan memperhalusi sistem perniagaan barter dilakukan di pantai timur negeri ini.

“Cadangan pasukan keselamatan supaya perniagaan itu dihentikan akan diambil kira, namun kita tidak boleh mengambil keputusan mengejut setakat ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan supaya kerajaan negeri menghentikan sebarang urus niaga membabitkan sistem tukaran barang di perairan negeri dalam usaha mengekang insiden penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Katanya, langkah drastik ini perlu diambil berikutan terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada aktiviti perniagaan untuk melakukan jenayah.

Disiarkan pada: May 28, 2015 @ 9:24am
d