mutakhir

Sakit perut semalaman

Oleh Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: “Kami kesal dengan tindakan pihak sekolah kerana gagal mengambil langkah segera merawat anak kami yang mengalami keracunan makanan sebaliknya diberikan ubat daripada farmasi sahaja tanpa berjumpa doktor,” kata Samsudin Arifin, 57, waris pelajar sebuah pusat pengajian agama di Pendang.

Dua anaknya antara pelajar sekolah agama bantuan kerajaan yang didakwa tidak diberi rawatan dengan baik oleh pihak sekolah sehingga terpaksa menanggung kesakitan akibat keracunan makanan dalam kejadian Sabtu lalu.

Samsudin dari Gurun berkata, anak lelakinya berusia 15 tahun mendakwa terdapat kira-kira 50 pelajar mengadu mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah-muntah kira-kira jam 6 pagi selepas memakan gulai daging dan sayur sawi ketika makan malam.

Menurutnya, seorang demi seorang rakan anaknya turut mengadu mengalami masalah yang sama dan memaklumkan kepada pengurusan asrama untuk tindakan lanjut.

“Mereka (pelajar) sudah memaklumkan kepada pihak sekolah, namun ustaz (warden) hanya membawa 17 daripada pelajar yang mengadu sakit perut ke klinik swasta berhampiran bagi mendapatkan rawatan kira-kira jam 7 malam hari yang sama.

“Anak saya memberitahu apabila sampai ke klinik berkenaan, mereka dimaklumkan doktor tiada lalu dibawa ke sebuah lagi klinik swasta berhampiran dan berlaku hal yang sama.

“Berikutan itu, mereka hanya diberi makan ubat daripada farmasi dan dibiarkan menanggung kesakitan sepanjang malam tanpa dibawa berjumpa dengan doktor,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu turut diketahui pengetua sekolah, namun beliau tidak mengambil sebarang tindakan malah melarang masalah berkenaan disampaikan kepada ibu bapa pelajar.

Katanya, pada keesokan harinya selepas didesak oleh pelajar kerana tidak tahan menanggung kesakitan, kira-kira 40 daripadanya dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Tiang, Pendang manakala pelajar selebihnya dibawa ke klinik yang sama pada hari berikutnya bagi mendapatkan rawatan.

“Saya hanya dimaklumkan oleh pihak sekolah pada Ahad lalu untuk membawa anak pulang kerana mendapat cuti sakit selama tiga hari akibat keracunan makanan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi waris, Siti Aishah Aziz, 50, berkata, anaknya berusia 15 tahun sebelum ini mengadu bahawa pihak kantin sekolah sering menghidangkan makanan yang tidak bersesuaian.

“Pihak sekolah seakan-akan tidak peka dengan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dihidangkan di kantin sekolah. Kami mahu sekolah mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan kantin supaya kejadian ini tidak berulang kerana membabitkan nyawa anak-anak kami,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dua laporan polis dibuat di Balai Polis Gurun dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut, kelmarin.

Sementara itu, pengurusan sekolah berkenaan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kejadian berkenaan dan meminta maklum balas daripada Jabatan Pendidikan Negeri.

Disiarkan pada: May 28, 2015 @ 9:51am
d