mutakhir

4.65 juta mula terima BR1M

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Seramai 4.65 juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat kedua menerima bayaran mulai hari ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pembayaran peringkat kedua ini membabitkan tuntutan rayuan yang diluluskan kepada 141,670 penerima.

“Pembayaran dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai nombor akaun, surat kelulusan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan BSN, Maybank, CIMB dan Public Bank yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ahmad Husni berkata, melalui pengumuman Bajet 2015, kerajaan memutuskan pemberian BR1M tahun ini diagihkan kepada tiga peringkat dan bayaran peringkat pertama diagihkan pada 15 Januari lalu.

Pada masa sama, katanya, kerajaan memperkenalkan Skim Khairat Kematian (SKK) dengan bantuan RM1,000 yang bertujuan membantu waris penerima BR1M dibawah kategori isi rumah dan warga emas yang meninggal dunia.

Katanya, sehingga kini, 16,000 tuntutan SKK diluluskan.

“Waris penerima BR1M yang dinamakan dalam Borang Permohonan BR1M boleh membuat tuntutan SKK di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional dengan mengemukakan dokumen sijil kematian serta kad pengenalan waris,”katanya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau e-mel br1m@treasury.gov.my.

Disiarkan pada: May 28, 2015 @ 9:59am
d