mutakhir

Pegang amanah jaga warga emas 101 tahun

Padang Terap: “Saya tidak pernah menyesal perlu menjaga mereka berdua kerana sudah menganggap mak cik Meliah macam ibu sendiri, malah keluarga kami diamanahkan oleh orang ramai yang menderma supaya menjaga dua beranak ini dengan baik,” kata Siti Zaleha Yunus.

Siti Zaleha, 59, cucu kepada warga emas Meliah Md Diah, 101, diamanahkan menjaga warga emas itu bersama anak tunggalnya Abdul Rahman Saud, 63, yang juga orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya di Kampung Nako Nambua, di sini.

Menurut Zaleha, sejak kisah Meliah disiarkan akhbar, ramai pihak datang membantu termasuk dari luar negeri ini .

“Setiap malam saya akan datang jenguk mereka kerana kesihatan mak cik Meliah tidak menentu, malah sering penat dan batuk tetapi keadaannya tidaklah membimbangkan.

“Cuma kadang-kadang Abdul Rahman buat ‘perangai’ dan meragam waktu malam, tetapi saya sudah lali dengan semua itu kerana perlu sabar dengan apa yang berlaku,” katanya.

Siti Zaleha berkata demikian selepas ditemui ketika menerima kunjungan Presiden dR Rozmey Group (dRG) Datuk Dr Che Rozmey Che Din yang turut menyampaikan sumbangan hamper keperluan harian di rumah warga emas itu, semalam.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Rozmey Air Sdn Bhd Kapten Adam Abdullah.

Menurutnya, bagi wang sumbangan orang ramai, ia dimasukkan ke dalam akaun bank Abdul Rahman dan wang itu juga akan digunakan bagi membeli barangan keperluan harian termasuk makan minum, pakaian serta lampin pakai buang untuk Abdul Rahman.

Disiarkan pada: May 28, 2015 @ 10:06am
d