mutakhir

Pondok usang tunggu roboh

Oleh Yahya Awang

Taiping: Seorang ibu tunggal yang menetap dalam sebuah pondok usang bersama lapan anak dan ibunya yang uzur kini berharap pembinaan rumah baru yang sudah diluluskan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) dapat disegerakan kerana bimbang kediaman dihuni sekarang hanya menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.

Zarina Mohd Nor, 39, yang tinggal di Kampung Teluk Kertang, Matang, di sini, berkata, kebimbangan mereka bertambah apabila kini keadaan cuaca selalu hujan lebat dan angin kuat berlaku terutama pada waktu malam.

Menurutnya, jika pondok usang yang mereka menumpang untuk berteduh sejak beberapa tahun lalu itu rebah ketika mereka berada di dalamnya pasti keselamatan anak-anak yang berusia lima hingga 19 tahun serta ibunya yang berusia 75 tahun akan terancam.

“Pondok usang dan uzur serta berusia 40 tahun ini menunggu masa sahaja untuk tumbang dan tidak lagi selamat untuk didiami terutama bila berlaku angin kuat dan hujan lebat.

“Malah, saya dan lapan anak termasuk seorang anak angkat serta ibu berusia 75 tahun sering berada dalam ketakutan setiap kali hujan lebat melanda kerana keadaan rumah bergoyang ditiup angin kencang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, sejak menjadi ibu tunggal, kehidupannya sekeluarga menjadi susah tambahan pula terpaksa berhenti kerja di kilang arang kayu bakau di Sungai Mati, Matang, dengan gaji RM660 sebulan kerana sebab tertentu.

“Sekarang buat kerja sambilan keluarkan arang dari dapur arang di Kuala Sepetang, dengan upah sehari RM40, tetapi tidak menentu jumlah hari bekerja dan jika ada kerja barulah saya dipanggil.

“Memang saya mendapat bantuan Baitulmal sebanyak RM250 sebulan, namun dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan termasuk bantuan berkenaan ia tidak mampu untuk menanggung kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Zarina berkata, mereka sekeluarga menetap di pondok terbabit dengan menumpang daripada seorang penduduk bernama Abd Rahman Said yang menetap di kampung berhampiran sejak beberapa tahun lalu secara percuma.

“Penderitaan kami mendapat perhatian pihak berkuasa dan Alhamdulillah dengan bantuan ketua kampung, pihak MAIPK meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000 untuk pembinaan sebuah rumah batu tiga bilik berhampiran kediaman sekarang di atas tanah sumbangan seorang dermawan bagi menggantikan pondok usang dan uzur itu.

Disiarkan pada: May 28, 2015 @ 10:06am
d