mutakhir

15 dipindah ammonia bocor

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: “Ketika lalu di kawasan kilang ais itu saya terhidu bau sesuatu dan ternampak asap, saya ingatkan kilang terbakar, tetapi sebenarnya ada gas bocor,” kata seorang penduduk yang tinggal berdekatan kawasan berlakunya kebocoran gas ammonia dari sebuah kilang ais terbiar di Jalan Pelantar, Pantai Remis, dekat sini, kelmarin.

Penduduk berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, dia menyedari kejadian itu ketika melalui depan kilang berkenaan untuk pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran.

Katanya, beliau sendiri tidak dapat menahan bau gas berkenaan dan bimbang kejadian itu boleh memudaratkan kesihatan penduduk yang tinggal berdekatan.

Susulan kebocoran gas dua paip di kilang itu pada jam 3 petang, seramai 15 penduduk daripada empat keluarga yang tinggal berhampiran kilang ais itu diarah meninggalkan kediaman masing-masing demi keselamatan mereka.

Kerja menampal paip bocor dilakukan anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan operasi selesai jam 1.25 pagi.

Namun sehingga jam 2 petang semalam, penghuni kediaman yang diarahkan berpindah belum pulang ke rumah masing-masing.

Komander Operasi HAZMAT Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih, Ipoh, Shazlein Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 3.08 petang kelmarin sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Kebocoran berlaku pada dua paip di kilang itu selepas pekerja kontrak pembersihan kilang melakukan kerja pembuangan paip berkarat dan tidak digunakan.

“Kerja penampalan paip bocor tamat pada jam 1.25 pagi mengikut SOP HAZMAT dan keadaan kawasan itu kini stabil,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Disiarkan pada: May 28, 2015 @ 10:30am
d