mutakhir

Syurga balasan reda

Kuala Lumpur: “Anak yang meninggal dunia ketika masih kecil memberi kelebihan syurga kepada ibu bapanya selagi mana mereka reda serta mengikuti setiap syariat yang ditetapkan dalam Islam dan tidak melakukan sesuatu yang mampu merosakkan iman.”

Demikian kata penceramah terkenal, Haslin Baharim yang menegaskan anak itu hanya kelebihan buat ibu bapa dan bukannya jaminan untuk mereka ke syurga.

Menurutnya, ibu bapa perlu reda dengan ketentuan Allah dan reda itu dibalas dengan ganjaran akhirat termasuk kelebihan menyelamatkan mereka daripada azab api neraka jika diizinkan oleh Allah.

“Ibu berkenaan (Ruqayyah Farhani Mohd Shukry) yang tersenyum ketika anak sulungnya meninggal dunia boleh dilihat sebagai beliau reda dengan ketentuan Allah.

“Reda ini ibadat yang besar. Jika Allah memberi sesuatu dugaan kepada hambanya dan jika hambanya reda, ia adalah ibadat buat mereka dan perbuatan ibu berkenaan perlu dijadikan contoh teladan,” katanya kepada Harian Metro.

Haslin berkata, itu kelebihan yang diberikan Allah kepada ibu bapa yang menghadapi dugaan itu dengan sabar dan reda serta ia dibalas dengan kelebihan di akhirat.

“Anak ini anugerah Allah, jika Allah mengambil mereka semula, Allah gantikan syurga atas kesabaran dan keredaan ibu bapa ini menghadapi ujian Allah.

“Namun, mereka (ibu bapa) perlu terus istiqomah dalam Islam dan memperbaiki amal ibadat supaya membolehkan kelebihan itu diberikan kelak. Jika mereka kufur atau mensyirikkan Allah, anak ini tidak mampu untuk membantu mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, beberapa golongan lain yang diberikan kelebihan sama iaitu menyelamatkan ahli keluarganya yang lain daripada tergelincir ke dalam azab neraka.

Menurutnya, golongan ini antaranya syahid fisabilillah, syahid akhirat, perempuan yang tidak diberikan jodoh namun menjaga kesucian mereka serta beberapa golongan lain.

“Selain itu, mereka yang menghafaz al-Quran turut diberikan kelebihan kerana daripada asasnya, mereka ini orang yang mempunyai budi pekerti yang baik asalkan tidak melakukan sebarang perbuatan mungkar.

“Sebenarnya, sesiapa saja boleh diberikan kelebihan asalkan mereka taat kepada perintah Allah dan mereka akan diberikan kelebihan di akhirat kelak,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2015 @ 7:14am
d