mutakhir

Enjin mungkin rosak

Kota Kinabalu: Kerosakan pada bahagian enjin berkemungkinan menjadi punca helikopter model 206B dikendalikan seorang juruterbang pelatih terhempas sebelum terbakar di kawasan hangar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dekat sini, semalam.

Ketua Jurulatih Akademi Helikopter Layang-Layang Kapten Sudhir AK Kumaren berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor berkenaan namun siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan terbabit masih giat dijalankan.

“Kami masih menjalankan siasatan berhubung perkara ini namun tidak menolak punca kemalangan berkemungkinan disebabkan kerosakan teknikal di bahagian enjin helikopter,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Akademi Helikopter Layang-Layang Sdn Bhd, Tanjung Aru, di sini.

Dalam kejadian jam 11.55 pagi itu, Fatin Nadeera Mohammad Jeffrey, 21, dikatakan menjalani latihan penerbangan solo di kawasan terbabit sebelum mengalami masalah teknikal sehingga mengakibatkan helikopter itu terhempas dari ketinggian kira-kira empat meter.

Insiden itu turut menjadikan operasi rutin KKIA Terminal Satu dan Terminal Dua tergendala selama 15 minit sebelum beroperasi semula sebaik kerja pembersihan dan pemeriksaan lanjut di lokasi kemalangan dijalankan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat.

Sudhir berkata, Fatin difahamkan sedang mengikuti latihan mengendalikan helikopter secara solo sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu.

Disiarkan pada: May 29, 2015 @ 9:51am
d