mutakhir

Patah balik ke Thailand

Oleh Amir Abd Hamid

Langkawi: Bimbang dicekup, dua bot dipercayai memuatkan pelarian Rohingya yang cuba menghampiri kawasan perairan utara Malaysia kira-kira jam 9.30 pagi, semalam, berpatah balik ke perairan Thailand.

Kehadiran bot itu dikesan kira-kira lima batu nautika dari kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Ledang yang melakukan rondaan berdekatan kawasan pencarian di utara sektor F perairan Langkawi di Selat Chinchin.

Pegawai Memerintah KD Kasturi Kepten Sharum Shaim berkata, bagaimanapun dua bot yang cuba memasuki perairan Malaysia itu berpatah balik ke perairan Thailand.

“Dua bot mencurigakan itu berpatah balik mungkin selepas menyedari kehadiran kapal TLDM elemen maritim yang lain.

“Saya dimaklumkan kehadiran dua bot itu oleh Pegawai Memerintah KD Ledang Leftenan Komander Ismail Karsin.

“KD Kasturi yang sedang melakukan rondaan di sektor G kemudian segera ke sektor D, E dan F untuk bersiap sedia membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat Op Sekat di KD Kasturi kepada media yang mengikuti misi kemanusiaan TLDM untuk pelarian Rohingya.

Misi kemanusiaan ini dilakukan selepas dilaporkan masih ada pelarian Rohingya terkandas dalam bot di tengah laut.

Pada 10 Mei lalu, seramai 1,158 pendatang termasuk wanita dan kanak-kanak Bangladesh serta pelarian Rohingya dari Myanmar mendarat secara haram dengan bot di Langkawi, Kedah yang dilaporkan jumlah terbesar setakat ini.

Laporan media mendakwa terdapat lebih 8,000 pendatang Rohingya dan Bangladesh masih berada di laut dalam usaha mereka untuk masuk secara haram ke Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Sharum berkata, radius keluasan pencarian membabitkan sektor A, B, C, D, E, F, G dan H ialah 1959.75 batu nautika persegi.

Disiarkan pada: May 29, 2015 @ 10:05am
d