mutakhir

'Semalam wajah berseri-seri'

Alor Setar: “Semalam (kelmarin) wajah arwah kelihatan berseri-seri dan bercahaya ketika melakukan tugas sebagai Jawatankuasa Kecil Makan Minum Petugas dan Mangsa di Program ASEAN Regional Forum Disaster Relief Exercises (ART Direx 2015) di Timah Tasoh, Perlis.

“Namun, saya tidak menyangka itu kali terakhir kami bertemu sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 18 Jerlun, Jalan Alor Setar-Kangar, di sini, malam tadi (kelmarin). Kami semua terkejut dengan kejadian yang menimpanya,” kata Yusmiza Yaakob.

Dalam kemalangan jam 7.30 malam itu, kereta Perodua Viva yang dipandu Fatimah dari arah Kangar ke Alor Setar dikatakan bertembung dengan kereta Proton Perdana dipandu seorang wanita berusia 36 tahun.

Akibatnya, Fatimah parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, tetapi mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Perdana itu masih dirawat di HSB, di sini, akibat cedera di kaki.

Yusmiza, 42, yang juga rakan mangsa berkata, arwah datang bertugas dalam program itu kelmarin kerana baru pulang dari kursus di Langkawi sejak Isnin lalu.

Katanya, arwah yang juga Timbalan Penguasa Rumah Seri Kenangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jejawi, Perlis seorang yang mesra dengan kakitangan lain.

“Arwah banyak melepaskan tugas sebagai pegawai aset dalam jabatan kami dan memberitahu tidak mahu lagi memegang jawatan itu serta menyerahkan wang penghuni di rumah Seri Kenangan kepada rakan lain beberapa hari lalu.

“Tindakan yang dilakukan arwah itu rupanya petanda dia pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah arwah di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah, di sini, semalam.

Kakak ipar arwah, Khatijah Kassim, 66, berkata, dia terkejut dimaklumkan Fatimah terbabit dalam kemalangan dan bergegas ke HSB, tetapi sedih apabila dimaklumkan sudah meninggal dunia.

Katanya, arwah adik iparnya pernah mengadu kepada rakan dia mahu bersara awal kerana sudah penat melakukan tugasnya, selain berulang-alik dari Alor Setar ke Perlis dan sebaliknya sejak 10 tahun lalu.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah jam 11.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.32 malam dan sebuah jentera bersama lapan anggota dari BBP Alor Setar tiba di lokasi jam 7.50 malam.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar di bahagian enjin, tetapi berjaya dipadamkan dan mangsa dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2015 @ 10:07am
d