mutakhir

Cipta pusat rujukan ilmu Islam

Oleh Mahaizura Abd Malik

Gombak: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025-PPPM (PT) akan memantapkan lagi status Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pusat rujukan ilmu Islam di Rantau Asia dan Barat.

Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin berkata, penghasilan graduan holistik dan seimbang bukan saja diukur kepada ilmu yang dimiliki, malah penerapan kerohanian yang mengukuhkan lagi keseimbangan elemen berkenaan.

“Bagi UIAM, kami bersyukur kerana beberapa elemen yang terdapat dalam pelan itu sudah dilaksanakan sejak 30 tahun lalu dan akan ditambah baik.

“Contohnya, dalam lonjakan satu iaitu graduan holistik, keusahawanan dan seimbang itu bukan asing lagi, namun bagi kami ia harus diterjemahkan merangkumi kurikulum bersepadu dengan adunan ilmu, wahyu dan akal.

“Ini bermakna kami bukan saja memberi ilmu kepada pelajar dalam bidang pengkhususan masing-masing, malah mendedahkan mereka dengan kemahiran tambahan serta nilai murni berorientasikan agama bagi membentuk sahsiah terpuji,” katanya.

Menurutnya, PPPM (PT) akan memantapkan lagi usaha UIAM yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai usaha bagi memastikan universiti Islam seluruh dunia memenuhi ciri penyelidikan inovatif.

Katanya, UIAM menerima pengiktirafan ‘The Premier International Islamic Research University’ dari Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) di Rabat, Morocco tahun lalu.

“Dalam penyelidikan, cabarannya ialah mendapatkan geran terbesar yang kebanyakannya terletak di Barat, inilah yang menjadi kekangan.

“Jadi dengan kelebihan dalam pelbagai bidang termasuk bidang halal, kewangan Islam mahupun bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara program, kami menjadi gerbang Islam ke dunia Barat.

“Negara Barat mahu tahu banyak perkara mengenai Islam, di sinilah kami memainkan peranan berhubung dengan mereka dan menggunakan kekuatan rangkaian termasuk menunjukkan kebolehan.

“Contohnya UIAM menjadi 10 terbaik dalam Juara Debat Dunia dan dengan itu barulah orang barat mahu ‘bercakap’ dengan kita,” katanya.

Beliau memberi satu lagi contoh elemen dalam PPPM (PT) iaitu ruang pembelajaran sepanjang hayat yang begitu penting kerana menyediakan akses pendidikan lebih meluas kepada masyar akat.

“Di UIAM, kami ada program pembelajaran sepanjang hayat dengan kursus profesional singkat memudahkan mereka meningkatkan kemahiran melalui integrasi kurikulum disediakan,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2015 @ 10:07am
d