mutakhir

Detik cemas penjual nasi lemak

Chukai: Seorang peniaga nasi lemak berdepan detik cemas apabila diugut bunuh dua lelaki tidak dikenali dalam kejadian samun membabitkan kerugian RM3,000 di Bandar Sri Bandi, di sini, kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa sedang menjual nasi lemak di gerai hadapan rumahnya pada jam 12.30 tengah hari.

Menurut sumber, mangsa yang bersendirian didatangi dua lelaki dengan menaiki motosikal Honda EX5 warna merah.

Katanya, sebaik memberhentikan motosikal mereka, dua lelaki terbabit terus menghampiri mangsa dan seorang daripadanya memegang sebilah pisau.

“Kedua-dua penjenayah terbabit mengugut mencederakan mangsa dengan meletakkan pisau di leher sebelum merentap seutas rantai yang dipakai mangsa bernilai RM3,000.

“Tidak cukup itu, suspek cuba merampas gelang tangan mangsa, tetapi gagal apabila mangsa menjerit meminta tolong,” katanya.

Menurutnya, suspek yang terkejut dengan tindakan mangsa bergegas melarikan diri apabila mendapati beberapa penduduk berlari ke arah gerai terbabit untuk memberi bantuan.

Katanya, suspek yang masih trauma dengan kejadian itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintendan Normanshah Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Disiarkan pada: May 29, 2015 @ 10:19am
d