mutakhir

Lima 'tetamu' mengganas

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Kumpulan perompak pecah rumah warga Indonesia mengganas kembali apabila menjadikan kediaman banglo milik pengurus sebuah syarikat di Villa Serene Kiara di sini, sebagai sasaran terbaru.

Dalam kejadian terbaru jam 4.50 pagi semalam, lima suspek berjaya menembusi sistem penggera keselamatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kediaman itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 43 tahun sedang tidur di biliknya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun terkejut apabila menyedari alat penggera keselamatan di rumahnya berbunyi.

“Difahamkan, mangsa segera memerhatikan skrin CCTV di biliknya dan mendapati tiga lelaki menceroboh masuk ke dalam rumahnya.

“Mangsa kemudian segera bertindak menguncikan dirinya di dalam bilik tidur utama,” katanya.

Bagaimanapun suspek memecah pintu bilik mangsa sebelum mengacukan parang ke arah mangsa.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya berdiam diri dan diugut akan dicederakan sekiranya ingkar,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya mampu berdiam diri dan melihat suspek mengambil semua barangan berharga miliknya di dalam rumahnya sebelum melarikan diri.

“Melalui rakaman CCTV, polis mengesan seramai lima suspek dipercayai warga negara Indonesia berdasarkan percakapan mereka memasuki rumah mangsa dengan memotong pintu jeriji besi di tingkat bawah kediaman.

“Rakaman juga menunjukkan hanya tiga suspek masuk ke dalam rumah manakala dua lagi suspek berkawal di luar rumah,” katanya.

Dia berkata, pengawal keselamatan rumah itu yang menyedari kejadian itu bagaimanapun turut diikat suspek di luar rumah itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000 termasuk beberapa dokumen penting seperti MyKad mangsa,”tegasnya.

Disiarkan pada: May 29, 2015 @ 10:19am
d