mutakhir

Meningkat 100 peratus

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Kadar kematian akibat denggi meningkat 100 peratus iaitu 136 kes dari Januari hingga 23 Mei lalu berbanding 68 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, jumlah kumulatif kes denggi pula 45,070 iaitu peningkatan 35 peratus (33,456 kes) berbanding 11,614 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pemantauan kementerian juga mendapati peningkatan kes denggi 16 peratus setiap minggu sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, jumlah kes mingguan pada minggu ke 20 iaitu dari 17 hingga 23 Mei lalu 1,944 berbanding hanya 1,675 kes pada minggu sebelumnya.

“Lapan negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Selangor 150 kes (16.6 peratus), Perak 50 kes (36.8 peratus), Johor 43 kes (30.5 peratus) dan Negeri Sembilan 21 kes (95.5 kes).

“Selain itu, Sarawak lapan kes (36.4 peratus), Kelantan empat kes (26.7 peratus), Kedah tiga kes (15 peratus) dan masing-masing satu kes di Perlis (100 peratus) dan Sabah (100 peratus),” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Kesihatan di sini, semalam.

Dr Subramaniam berkata, peningkatan kes ini disebabkan beberapa faktor termasuk musim hujan yang melanda kebanyakan negeri dan menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk.

Selain itu, katanya, perubahan stereotaip denggi pada hujung April yang boleh menyebabkan peningkatan kes dan kematian beberapa bulan selepas itu.

“Persekitaran yang tidak bersih iaitu kadar pembiakan Aedes tinggi dengan purata 1.5 hingga dua peratus setiap minggu yang menunjukkan tempat pembiakan nyamuk tinggi,”katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, jawatankuasa penduduk dan ketua masyarakat perlu menganjurkan aktiviti pembersihan persekitaran bagi memastikan tiada tempat pembiakan serta membuang sampah secara berhemah.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Denggi Pelbagai Kementerian kelmarin turut memutuskan beberapa tindakan bersepadu khususnya di Lembah Klang bagi meningkat aktiviti kawalan, pencegahan dan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Beliau berkata, tindakan bersepadu itu membabitkan perkongsian peralatan dan sumber manusia, tindakan kawalan dan pencegahan secara serentak, meningkatkan penguatkuasaan khususnya di tapak pembinaan dan memastikan ‘outdoor residual spray (ORS)’ bagi kawasan sasaran di Petaling mencapai 100 peratus bagi pusingan pertama serta kedua.

“Mesyuarat juga memutuskan untuk menguatkuasakan Seskyen 11 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, dengan pemaju yang ingin menjalankan projek pembangunan diwajibkan mengambil langkah pencegahan vektor seperti yang disyaratkanmengikut seksyen itu,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2015 @ 5:21am
d