mutakhir

Cari jalan penyelesaian

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “ASEAN mesti mencari penyelesaian dengan kerajaan Myanmar dalam menangani isu pelarian Rohingya yang dizalimi dengan kejam sekali,” tegas Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kesan sikap perikemanusiaan dengan menerima kaum berkenaan, Malaysia kini bersama Thailand dan Indonesia menerima kesan daripada tragedi kemanusiaan itu.

Bagaimanapun, tegas beliau, demi kedaulatan negara, Malaysia tidak boleh membenarkan orang luar masuk ke sempadan dengan begitu mudah.

“Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan penemuan kubur-kubur besar di kem pemerdagangan manusia di sempadan Perlis-Thailand di mana amat jelas mereka didera dan dizalimi dengan begitu kejam sekali.

“Namun sebagai manusia, kita mempunyai rasa belas kasihan. Saya akui, melihat keadaan pelarian Rohingya, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang merana akibat kelaparan, kehausan dan keletihan, saya membuat keputusan mengarahkan operasi menyelamatkan mereka di perairan kita,” kata beliau.

Beliau berkata demikian melalui siaran radio di blog NajibRazak.com, semalam.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan 139 kubur dan kem transit yang ditinggalkan sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Disiarkan pada: May 30, 2015 @ 5:21am
d