mutakhir

#taknakseludup

Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Atas keprihatinan terhadap kegiatan penyeludupan rokok yang bukan saja menyumbang kepada pelbagai kegiatan jenayah dan kekerasan serta menggalakkan golongan muda merokok pada usia muda, Media Prima Berhad mengambil inisiatif melancarkan kempen #taknakseludup, semalam.

Kempen sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2015 yang disambut setiap 31 Mei di seluruh dunia bertemakan ‘Hentikan Perdagangan Haram Produk-Produk Tembakau.’

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Media Prima Berhad Shareen Ooi berkata, kempen itu bertujuan menyedarkan orang ramai untuk menentang perdagangan tembakau haram termasuk rokok seludup.

“Ia bukan saja usaha menghapuskan perdagangan tembakau haram malah mengurangkan laluan kepada produk tembakau dalam kalangan individu di bawah umur.

“Kami menyeru orang ramai supaya memainkan peranan aktif dengan menyokong kempen ini dalam meningkatkan kesedaran selain menghentikan pengambilan juga jualan rokok seludup,” katanya selepas melancarkan kempen berkenaan di Balai Berita, Bangsar, semalam.

Hadir sama, Presiden Transparency International Malaysia yang juga penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar.

Shareen berkata, pihaknya akan melaksanakan kempen itu melalui pelbagai saluran seperti media sosial, laman web selain siaran di televisyen bagi memastikan penyampaiannya lebih meluas.

Beliau berkata, kempen itu akan menjadi lebih efektif apabila masyarakat menunjukkan sokongan dengan melaporkan perkara berkaitan rokok seludup kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan terutama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Perdagangan tembakau haram menyebabkan pembangunan sosioekonomi negara ini terjejas selain masalah berkaitan kesihatan juga keselamatan Malaysia.

“Usaha yang dijalankan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan negara dalam menghapuskan perdagangan tembakau haram membantu mengurangkan aktiviti ini, namun akibat harganya yang murah, permintaan serta penggunaan rokok seludup kekal tinggi,” katanya.

Shareen berkata, kempen #taknakseludup akan dijalankan secara berterusan dan tiada tempoh tamat memandangkan ia mampu meningkatkan kesedaran orang ramai.

Sementara itu, Akhbar berkata, rokok seludup turut menyumbang kepada hasil sindiket jenayah terancang di negara ini.

“Rokok seludup ini terbahagi dua iaitu ‘contraband’ serta ‘counterfeit’. Contraband ialah rokok tulen manakala counterfeit pula rokok tiruan, kedua-duanya diseludup ke negara ini oleh sindiket terancang tempatan serta luar negara.

“Hasilnya, kerajaan kerugian kira-kira RM2 bilion setahun hasil cukai yang tidak dibayar oleh penjenayah ini. Bayangkan, wang berkenaan boleh digunakan untuk membina sekolah, jalan raya serta kemudahan awam lain untuk kesenangan rakyat, namun sebaliknya yang berlaku. Jadi kita perlu menyokong kempen #taknakseludup ini bagi memastikan rakyat juga mendapat manfaat hasil daripada cukai berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, penjenayah yang terbabit dengan penyeludupan rokok juga perlu dikenakan hukuman lebih tegas kerana mereka mampu membayar denda jika disabitkan kesalahan.

Beliau berkata, jika hukuman seperti penjara sehingga bertahun-tahun dikenakan, penjenayah mungkin berfikir banyak kali sebelum melakukan kesalahan terbabit.

“Kajian sebelum ini mendapati satu daripada tiga kotak rokok dijual di negara ini adalah rokok seludup. Kita semua perlu memainkan peranan menentang perkara ini kerana penyeludupan rokok bukan saja merugikan negara, malah rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2015 @ 5:23am
d