mutakhir

Belum saatnya lagi

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Gombak: Seorang wanita disifatkan amat bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan walaupun keretanya hancur dirempuh treler.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, kereta Perodua Viva dipandu mangsa berusia 30-an dilanggar treler 10 tan dari arah belakang di persimpangan Jalan Taman Sri Gombak menuju ke Greenwood, di sini.

Difahamkan, kereta mangsa turut diseret treler itu sejauh lebih 20 meter sebelum terperosok di bawah jejantas.

Bagaimanapun, mangsa hanya cedera ringan dan dibantu orang ramai keluar dari kenderaan itu.

Jurucakap trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berkata, siasatan awal mendapati treler itu dipandu dari arah Lebuhraya DUKE sebelum hilang kawalan dan merempuh kereta mangsa.

“Kami tidak menolak kemungkinan kegagalan brek treler itu berfungsi menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu memberitahu, mangsa kini dirawat di Hospital Selayang, di sini dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Difahamkan, pemandu treler itu menghilangkan diri selepas kemalangan berlaku dan polis kini sedang memburu suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2015 @ 5:35am
d