mutakhir

PAPA bantah

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Cadangan Indonesia untuk menaikkan gaji pembantu rumah warga republik itu yang bekerja di Malaysia kepada RM1,200 dirasakan tidak sesuai memandangkan kebanyakan pekerja berkenaan kurang kemahiran serta membebankan majikan.

Presiden Persatuan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PAPA) Jeffrey Foo berkata, terdapat banyak masalah dalam pengambilan pembantu rumah dari republik berkenaan termasuk tidak mempunyai kemahiran sebagai pembantu rumah.

“Kebanyakan mereka tidak mahir melakukan kerja rumah dan ada yang melarikan diri daripada majikan, jika cadangan gaji minimum ini dipersetujui, ia tidak adil buat majikan.

“Sepatutnya pihak agensi Indonesia mempersiapkan semua kemahiran asas kepada pembantu rumah ini sebelum dihantar ke Malaysia termasuk menjamin bahawa mereka tidak akan melakukan masalah seperti melarikan diri atau mendera anak majikan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Semalam, Timbalan Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono mengesahkan bahawa pihaknya sudah menghantar kertas cadangan itu kepada Kementerian Sumber Manusia untuk penambahbaikan syarat kerja pembantu rumah.

Dalam laporan itu, Hermono turut memaklumkan bahawa kenaikan gaji daripada RM800 kepada RM1,200 sebulan itu bagi menjadikan pekerjaan pembantu rumah di Malaysia lebih kompetitif.

Jeffrey berkata, agensi pekerjaan Indonesia wajar melengkapkan pembantu rumah republik itu dengan pelbagai kemahiran serta mengatasi masalah mereka yang lari daripada majikan.

“Kita tidak mahu cadangan itu membebankan majikan tambahan pula, tiada jaminan daripada agensi pekerjaan Indonesia bahawa masalah seperti pembantu rumah lari atau kes penderaan tidak akan berulang.

“Pada pendapat saya, biarlah cadangan itu sesuai dengan perkhidmatan yang disediakan. Jika kita minta tinggi (pembayaran gaji) tetapi perkhidmatan yang diberikan tidak bagus, majikan akan teraniaya,” katanya.

Beliau turut menyelar pandangan Hermono bahawa gaji pembantu rumah di negara ini adalah rendah berbanding negara lain.

“Apa yang penting mereka perlu memperkemaskan sistem latihan untuk pembantu rumah sebelum dihantar ke Malaysia. Jika semuanya sudah baik, saya rasa tidak menjadi masalah untuk menaikkan gaji pembantu rumah,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2015 @ 5:48am
d