mutakhir

Wanita terserempak nahas ajar anak mengucap

Lenggong: Seorang ibu tidak menyangka terserempak dengan anak lelakinya yang terbabit dalam kemalangan selepas motosikal ditunggang anaknya dirempuh sebuah kereta di Jalan Kuala Kangsar-Lenggong, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, Nordziah Omar, 54, sempat memangku anaknya, Aminur Rahman Mohd Amin, 17, yang mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan itu.

Suasana pilu itu disaksikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian apabila ibu mangsa berkali-kali memanggil nama anaknya yang sedang meronta-ronta di atas ribanya sambil mengajarnya mengucap.

Bagaimanapun, Aminur yang mengalami kecederaan patah kedua-dua belah kaki dan parah di muka disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 malam di Hospital Kuala Kangsar, dekat sini.

Menurut Nordziah, dia bersama seorang saudara dan iparnya menaiki kereta dari rumah untuk ke Ipoh sebelum terserempak dengan kemalangan antara sebuah motosikal dengan kereta Perodua Myvi sebelum iparnya memperlahankan kereta yang dipandu.

“Mulanya saya ternampak motosikal jenis Yamaha LC anak saya dan berdebar sebaik melihat dia terbaring di tepi jalan menyebabkan saya meluru sebaik kereta berhenti dan terus meribanya.

“Ketika di riba, anak saya membuka mata dan tangannya meronta-ronta apabila saya memanggil namanya sambil mengajarnya mengucap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sira, Lenggong, semalam.

Menurutnya, anaknya sebelum itu diberi wang sebanyak RM150 untuk menukar tayar motosikal di Kuala Kangsar walaupun dinasihati supaya pergi pada hari lain kerana dia tiada di rumah untuk ke Ipoh.

Nordziah yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu berkata, anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad, adalah anak sulung daripada dua beradik.

Disiarkan pada: June 1, 2015 @ 7:28am
d