mutakhir

Kolaborasi ATM, PDRM berjaya

Oleh Hamizah Badiran

Gabungan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi lebih fokus apabila matlamat dapat diusahakan secara bersepadu dalam satu gagasan ideal yang nyata serta jelas.

Itu rumusan yang boleh diperkatakan mengenai kolaborasi kreatif ATM dan PDRM menerusi inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS).

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, kerjasama itu bermula sejak 2010 dan dilaksanakan dengan jayanya, selain turut menjalani proses pemantapan dari semasa ke semasa.

“Tujuan utama kolaborasi kreatif di antara ATM dan PDRM adalah untuk memenuhi keperluan kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan kadar jenayah.

“Berasaskan kepada konsep NBOS, beberapa inisiatif digubal dan dilaksanakan secara bersama. Antaranya, kami berkongsi sumber dan tanggungjawab, mengadakan rondaan di kawasan kejiranan yang membabitkan polis, tentera dan anggota komuniti setempat dikenali sebagai Rondaan Awam Polis dan Angkatan Tentera (RAPAT), serta program pembentukan sahsiah untuk pelajar berisiko dikenali sebagai Program Remaja Berwawasan (PRB).

“Sumber yang dimaksudkan di sini adalah aset ATM dalam bentuk bangunan, tanah, kepakaran dan anggota. Perkongsian sumber ATM dan PDRM ini membolehkan setiap inisiatif dilaksanakan dengan pantas, pada kos rendah dan memberi impak yang tinggi kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan, perkongsian aset di antara ATM dan PDRM juga melibatkan penggunaan Pusat Latihan ATM, apabila PDRM menghadapi masalah tempat latihan dengan pengambilan anggota yang ramai untuk mengisi kekosongan jawatan.

Justeru, PDRM menggunakan pusat latihan ATM seperti Pusat Latihan Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan dan KD Sultan Ismail di Tanjung Pengelih, Johor, bagi melatih anggota PDRM.

“Hal ini terpaksa dilakukan berikutan pusat latihan PDRM sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah pelatih konstabel yang semakin ramai setiap tahun dan ternyata ia membantu menyelesaikan masalah PDRM dengan berkesan,” katanya.

Selain itu, PDRM juga bersetuju untuk mengambil bekas anggota ATM bagi menganggotai pasukan polis. Inisiatif ini membolehkan PDRM memilih bekas anggota ATM yang berpengalaman sebagai anggota polis.

Kerjasama erat PDRM-ATM ini juga membawa kepada sokongan ATM untuk menempatkan anggota mereka bagi tugas rondaan bersama dengan anggota polis bagi tugas pencegahan jenayah.

Menurut Khalid, objektif inisiatif ini adalah untuk menambah jumlah kawasan rondaan dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

“Tujuan rondaan ini adalah untuk meningkatkan keselamatan di kawasan perumahan dengan pembabitan ATM dan juga penduduk setempat. Nisbah rondaan ialah 1:1:3 iaitu seorang anggota PDRM, seorang ATM dan tiga penduduk dalam kalangan ahli SRS (Skim Rondaan Sukarelawan) di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) masing-masing.

“Kawasan rondaan adalah dikordinasikan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Kajian impak oleh pihak JPNIN di kawasan berkenaan dari Januari hingga Jun 2014 menunjukkan bahawa indeks rasa selamat dalam kalangan penduduk di kawasan rondaan ini mencecah 90.86 peratus, satu petanda yang amat memberangsangkan bagi kolaborasi tiga pihak ini.

“Saya berpendapat inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lebih kerap lagi sejajar dengan pendekatan kepolisan komuniti di mana komuniti dapat teruskan usaha mereka dalam membantu mencegah jenayah menerusi siri rondaan sebegini di samping apa jua aktiviti kepolisan komuniti yang sudah diprogramkan,” katanya.

Selain itu, ATM, PDRM dan Kementerian Pendidikan Malaysia turut bekerjasama melalui program PRB. Ianya bertujuan untuk menerapkan disiplin dan membentuk sahsiah diri positif dalam kalangan murid tertentu di sekolah menengah.

Zulkifeli berkata, inisiatif ini mampu menjadi medium yang menghalang pembabitan murid sekolah yang berisiko dari terlibat dalam aktiviti yang tidak diingini.

“Kumpulan sasar bagi inisiatif ini adalah murid tingkatan empat hingga lima dengan kapasiti seramai 40 orang murid bagi setiap sekolah membabitkan 120 sekolah di Semenanjung Malaysia.

“PRB dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu Program Mingguan dan Program Kem Musim Panas. Program Mingguan dilaksanakan dengan kekerapan dua minggu sekali di dalam kawasan sekolah di mana murid-murid akan mengikuti aktiviti kaunseling dan pembangunan akhlak.

“Program kem musim panas pula dilaksanakan selama lima hari di mana murid akan menjalani latihan perkhemahan di luar kawasan sekolah. Inisiatif ini berjaya memberi impak positif terhadap personaliti murid bermasalah disiplin,” katanya.

Dalam jangka masa panjang, inisiatif itu juga dilihat sebagai pelaburan menguntungkan negara kerana kemampuannya membentuk golongan belia yang berwawasan dan berdisiplin bagi memacu pembangunan negara menjadi sebuah negara maju serta berdaya saing khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi negara.

Kolaborasi PDRM-ATM ini harus dilihat sebagai satu pendekatan unik di mana dua pasukan yang agak berbeza dari aspek penugasan dapat disatukan di bawah NBOS untuk menjadi rakan akrab dalam membendung gejala jenayah dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

Disiarkan pada: June 1, 2015 @ 8:24am
d