mutakhir

Kerajaan Pusat dijangka kemudi Lebuhraya Rakyat

Kota Bharu: Kerajaan Persekutuan dijangka mengambil alih pembinaan projek Lebuhraya Rakyat dari Machang ke Kuala Krai dari kerajaan negeri ekoran beberapa masalah termasuk kekurangan dana.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebelum ini projek berkenaan membabitkan laluan sejauh 30.5 kilometer (km) akan disiapkan kerajaan negeri manakala jajaran sejauh 43 km dari Kota Bharu ke Machang bakal disiapkan Kerajaan Pusat.

“Bagaimanapun, kekurangan dana daripada kerajaan negeri menyebabkan projek berkenaan menghadapi masalah.

“Difahamkan perbincangan untuk memindahkan tanggungjawab itu kepada kerajaan pusat sudah dijalankan, namun saya tidak pasti perinciannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Jamuan Makan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2015, di sini, kelmarin.

Lebuhraya Rakyat dilancarkan pada Mei 2012 oleh bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merasmikan majlis pecah tanah dan meletakkan batu asas pembinaan di FELCRA Mek Nab, Berangan, Machang.

Kerajaan negeri mengumumkan projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Disiarkan pada: June 2, 2015 @ 7:55am
d