mutakhir

Operasi kesan tauke caj cukai berganda

Putrajaya: Operasi besar-besaran akan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mulai hari ini untuk mengesan peniaga yang mengenakan cukai berganda ke atas barang jualan mereka.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Alias Ahmad berkata, cukai berganda bermaksud peniaga mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) iaitu cukai yang sudah dimansuhkan selain Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas barang jualan mereka, dan tindakan itu amat dikesali.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap 557 barangan yang dikenakan SST sebelum ini dalam operasi penguatkuasaan di seluruh negara.

“Sebelum ini sebanyak 557 barangan antaranya makanan, pakaian, peralatan elektrik, alatan dapur dan barang keperluan harian dikenakan SST sebanyak 10 peratus.

“Bagaimanapun SST sudah dimansuhkan dan diganti dengan GST menyebabkan harga bagi barangan berkenaan sepatutnya turun kerana GST hanya membabitkan cukai sebanyak enam peratus,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Disiarkan pada: June 2, 2015 @ 7:57am
d