mutakhir

2 pecah kereta kebas duit gaji

Kota Bharu: Seorang kerani berputih mata selepas wang RM30,614.80 milik syarikatnya dilarikan dua lelaki dalam kejadian di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari, suspek yang menunggang motosikal memecahkan cermin kereta mangsa sebelum melarikan wang berkenaan.

Kerani berusia 39 tahun itu cedera di hidung dan atas kening sebelah kiri akibat terkena serpihan cermin kereta dipecahkan suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, sebelum kejadian, kerani itu mengeluarkan wang di sebuah bank selepas diminta majikannya untuk membayar gaji pekerja.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke keretanya, mangsa menyedari diekori lelaki yang tidak dikenali sebelum dia bergegas masuk ke dalam kereta dan mengunci dari dalam.

“Tidak lama kemudian, dua suspek menaiki motosikal Yamaha 125Z berwarna hitam datang dan cuba membuka pintu kereta sebelah penumpang hadapan, tetapi gagal.

“Suspek memecahkan cermin kereta mangsa di sebelah penumpang hadapan dan mengambil beg duit serta sampul berisi wang RM30,614.80 milik syarikat kerani itu bekerja.

“Antara barang lain yang hilang wang tunai dalam beg duit sebanyak RM350, dokumen penting termasuk kad pengenalan anak, kad bank dan telefon bimbit Motorola,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mangsa juga tidak dapat mengecam wajah suspek kerana suspek memakai topi keledar.

“Mangsa juga tidak dapat mengenal pasti senjata yang digunakan untuk memecahkan cermin keretanya.

“Kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2015 @ 8:28am
d