mutakhir

'Masa paling sesuai'

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Dengan gabungan Pendapatan Negara Kasar (PNK) ASEAN mencecah AS$3 trilion (RM11 trilion) pada 2017, ini adalah masa paling sesuai untuk melonjakkan industri pelancongan dan mempromosikan sektor pelancongan rantau ini di samping meraikan kepelbagaian warisan dan budaya,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Ketika melancarkan saluran pelancongan Astro 737 GOASEAN di sini, semalam Perdana Menteri berkata, dianggarkan golongan pertengahan penduduk ASEAN akan mencecah seramai 400 juta pada 2020 iaitu lebih daripada jumlah gabungan rakyat Brazil, Perancis, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Menurut laporan kaji selidik terkini, 44 peratus pengguna akan membelanjakan lebihan wang mereka untuk bercuti. Jadi, ini adalah peluang terbaik bagi kita untuk berkongsi maklumat pelancongan di rantau ini,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Astro Malaysia Holdings Berhad Tun Zaki Azmi.

Najib berkata, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) meramalkan pertumbuhan tahunan PNK komuniti ASEAN sebanyak 5.6 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, kemunculan saluran GOASEAN adalah contoh inovasi yang meneraju pertumbuhan iaitu sebagai inisiatif yang menyediakan peluang, menarik pelaburan dan membantu membangunkan potensi infrastruktur ke seluruh rantau ini.

Najib berkata, dengan lebih 630 juta penduduk dengan sebahagian besarnya golongan muda dan celik teknologi, saluran berkenaan akan menyediakan landasan unik untuk menemui penonton sama ada di televisyen, dalam talian dan media sosial.

Mengulas lanjut mengenai saluran pelancongan ASEAN pertama di dunia itu, Perdana Menteri berkata, GOASEAN bukan sekadar merancakkan sektor pelancongan semata-mata sebaliknya berpotensi memberi kesan kepada pelaburan langsung 10 negara anggota Asia Tenggara.

Disiarkan pada: June 3, 2015 @ 8:35am
d