mutakhir

Sedia gerak aset, anggota tentera kawal sempadan

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) siap sedia untuk menggerakkan aset dan anggotanya dalam usaha membantu mengawal sempadan negara daripada anasir negatif termasuk aktiviti pemerdagangan orang dan isu pendatang Rohingya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya menerima baik cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung penempatan pasukan tentera di sempadan negara.

Beliau berkata, ATM memang terbabit dengan menjaga sebahagian sempadan negara dan cadangan berkenaan supaya pasukan mengawal keseluruhan sempadan bersama pasukan penguat kuasa lain.

“Kabinet juga sudah mencadangkan Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di Wisma Pertahanan di sini, semalam.

Katanya, kementerian juga akan bekerjasama erat dengan Thailand dan Indonesia berhubung isu kawalan sempadan.

Sementara itu, beliau menegaskan semua saksi yang mengetahui dan ada maklumat berkaitan isu pendatang Rohingya perlu tampil bagi membantu siasatan dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatan dan kabinet seperti dilaporkan di media sosial berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaiknya, beliau menjelaskan kenyataannya menyokong tiga perkara dalam isu berkenaan diputar belit secara negatif oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, beliau menyokong tiga perkara iaitu penstrukturan semula dan rasionalisasi 1MDB, kebolehpercayaan 1MDB dan ketelusan supaya dapat mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Tidak timbul soal saya hendak letak jawatan. Mereka yang cuba melaga-lagakan saya dengan Perdana Menteri tidak akan berjaya,” katanya

Disiarkan pada: June 4, 2015 @ 10:04am
d