mutakhir

ASEAN komited maju benih padi baru

Putrajaya: Negara anggota ASEAN perlu komited mengadakan kerjasama serantau untuk membangunkan penyelidikan dan pembangunan benih padi baru yang lebih bermutu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Othman Aziz berkata, kerjasama serantau itu juga bagi menghasilkan padi yang tahan serangan penyakit sekali gus menjamin keselamatan bekalan makanan di rantau ASEAN.

Beliau berkata, penghasilan benih lebih bermutu bagi mengurangkan kerugian akibat serangan pelbagai penyakit termasuk penyakit hawar daun bakteria (BLB) dan jalur daun bakteria (BLS).

“Kita mengalami kerugian sebanyak RM120 juta tahun lalu akibat BLB yang berlaku kepada sebahagian daripada 100 hektar tanaman itu di kawasan seliaan MADA.

“Sehubungan itu, ASEAN memerlukan infrastruktur, kemudahan dan kepakaran masing-masing untuk mengeluarkan benih padi yang lebih bermutu atau dirawat bagi mengelakkan serangan penyakit dan musuh padi berlaku sekali gus mengakibatkan kerugian yang banyak,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Lembaga Keselamatan Makanan ASEAN (AFSRB) ke-35 di sini, semalam.

Objektif utama mesyuarat yang dihadiri kira-kira 40 wakil daripada 10 negara anggota ASEAN itu adalah sebagai platform pertukaran maklumat dan idea dalam menggalakkan kestabilan harga makanan dan mengukuhkan asas pengeluaran makanan.

Selain itu, ia juga bagi membuka peluang perdagangan jangka panjang di negara ASEAN selain melaporkan status terkini berhubung bekalan makanan di seluruh dunia.

Disiarkan pada: June 4, 2015 @ 10:27am
d