mutakhir

Tiada isu wang hilang

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberi penerangan dan penjelasan terperinci mengenai segala isu yang timbul berkaitan syarikat pelaburan milik kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam program siaran langsung bual bicara Dialog di TV1, malam tadi.

Beliau dilantik Kabinet sebagai jurucakap kerajaan bagi menjawab persoalan berhubung syarikat itu memaklumkan tidak timbul isu wang hilang dalam 1MDB .

“Kerajaan begitu bertanggungjawab dalam memastikan aset dan hutang. Dalam konteks 1MDB, apa yang berlaku ia mencapai pertumbuhan begitu pesat, dalam tempoh enam tahun sahaja ia memiliki aset yang begitu tinggi.

“Keduanya, struktur kewangan memiliki modal RM1 juta dan kerajaan memberi tanah seluas 560 ekar. Tapi tanah ini akan hanya memberi pulangan dalam tempoh panjang.

“Berdasarkan pertumbuhan pesat, menyebabkan 1MDB bergantung kepada hutang,” katanya.

Menjawab soalan lain, Ahmad Husni menafikan bahawa firma pengauditan gergasi antarabangsa yang mengaudit 1MDB iaitu Deloitte dan KPMG cuba menyembunyikan maklumat.

“Transaksi kewangan 1MDB adalah berdasarkan piawaian antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, 1MDB adalah milik Kementerian Kewangan dan segala pelaburannya dijamin oleh kerajaan dalam apa juga keadaan dan langkah penyelesaian atau rasionalisasi yang dilakukan tujuan utamanya untuk menyelesaikan hutang.

“Pelan rasionalisasi ini membabitkan tiga aset utama 1MDB termasuk aset kewangan dan bukan bertujuan untuk menyelamatkan mana-mana syarikat,” katanya ketika ditanya pengacara Syed Munawar Syed Mustar dan Suhaimi Muhamad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelan rasionalisasi perlu dilaksanakan segera untuk membebaskan syarikat berkenaan daripada beban hutang.

Selain itu, tidak juga tidak timbul soal (jemaah) menteri ‘dibuli’ oleh Perdana Menteri berhubung isu 1MDB seperti diuar-uarkan dalam media sosial.

Disiarkan pada: June 4, 2015 @ 10:28am
d