mutakhir

HM hulur bantuan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Cheras: "Syukur Alhamdulillah, sejak kisah keluarga kami disiarkan Selasa lalu banyak pihak tampil memberi bantuan.

"Saya sekeluarga terhutang budi dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Harian Metro kerana prihatin dengan kesusahan keluarga kami," kata Nor Zulaini Mat Ail, 42, ibu kepada tiga beradik yang berhenti sekolah dengan menjaja kuih karipap dan apam demi membantu menyara keluarga.

Menurutnya, selepas kisah kesempitan hidup keluarganya disiarkan, ramai mengunjungi mereka untuk menyampaikan bantuan.

Katanya, dia dan suami, Mohd Azri Mat Nasir, 29, menganggap sumbangan yang mencurah-curah rezeki buat empat anaknya iaitu Noor Danielle Abdul Malik, 17, Muhammad Idham Abdullah, 14, Noor Adrienna Putri Mohd Azri, 9, serta Aliaa Maisara Putri, 5, yang selama ini bersusah payah membantu keluarga.

"Bagaikan mimpi dan masih tidak percaya kami sekeluarga menerima rezeki sebanyak ini dalam masa beberapa hari saja.

"Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga," katanya ketika kunjungan Harian Metro sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di kediaman mereka di Pangsapuri Pendekar Taman Tun Perak, di sini, semalam.

Rombongan diketuai Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat. Hadir sama Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Wan Abdillah Wan Nawi serta Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu, Muhamad Safar Ahmad merangkap Setiausaha TKHM.

Sementara itu, Othman berkata, program itu dilaksanakan setiap bulan untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga memerlukan.

"Harian Metro prihatin dengan kesusahan dialami Nor Zulaini sekeluarga dan berharap sumbangan diberikan dapat membantu meringankan beban keluarga itu.

"Kami tidak melupakan nasib golongan yang kurang bernasib baik dan ini satu cara Harian Metro menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2015 @ 10:56am
d