mutakhir

Tempat ke-27 terbaik

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Sistem pendidikan tinggi Malaysia menduduki tangga ke-27 terbaik di dunia daripada 50 negara yang dinilai Universitas 21 (U21) berbanding tempat ke-28 pada 2014.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kedudukan U21 membandingkan sistem pendidikan tinggi bagi 50 negara seluruh dunia menggunakan 25 ciri yang dikategorikan kepada empat modul iaitu sumber, persekitaran, perhubungan dan output (hasil).

Selain itu, beliau berkata, Malaysia berada pada kedudukan kelapan dari segi peruntukan kerajaan terhadap sektor pendidikan tinggi sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kedudukan ke-12 jika diasaskan kepada peruntukan untuk setiap penuntut.

“Ini menunjukkan kerajaan terus memberi tumpuan tinggi kepada sektor pendidikan tinggi dengan menyalurkan sumber yang tinggi demi pembangunan dan perkembangan institusi pendidikan tingginya.

“Malaysia juga berada pada kedudukan ke-32 dalam kategori universiti terbaik dan tempat ke-39 bagi pencapaian pendidikan bagi kakitangan akademik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

U21 ialah gabungan rangkaian 25 universiti penyelidikan utama yang diterajui Universiti Melbourne, Australia dan kedudukannya terhadap sistem pendidikan tinggi negara secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada universiti secara berasingan.

Ia bukan saja tertumpu kepada universiti penyelidikan, tetapi kepada pembangunan ekonomi, sosial dan budaya sesebuah negara, malah ia berlainan dengan QS World University Rankings, Times Higher Education World University Rankings dan Shanghai Academic Rankings of World Universities yang membandingkan institusi pendidikan tinggi.

Idris berkata, dari segi pengetahuan kepada sektor perniagaan, Malaysia berada di kedudukan keenam berbanding kedudukan ke-12 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia berada di kedudukan ke-30 untuk peruntukan bagi pembangunan dan penyelidikan (R&D) terhadap institusi pendidikan tinggi negara.

“Selain itu, negara kini berada pada tahap ke-17 untuk penuntut antarabangsa dan institusi pendidikan tinggi Malaysia berada di kedudukan ke-22 untuk jumlah penerbitan serta kedudukan ke-33 untuk penerbitan perkapita penduduk.

“Pengurangan pemarkahan pemberat kepada aspek penerbitan mulai tahun ini menyebabkan penurunan kedudukan Malaysia dari segi aspek itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2015 @ 8:39am
d