mutakhir

Batu Papan lokasi pilihan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Gua Musang: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bagi Ramadan 1436 Hijrah akan membuka tirainya di Kampung Batu Papan khusus untuk meraikan anak yatim dan mangsa banjir yang kurang bernasib baik.

Ia akan diadakan pada 26 dan 27 Jun yang dijangka dihadiri kira-kira 500 orang.

Bagi memastikan kelancaran majlis, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Othman Mamat yang juga Pengerusi TKHM meluangkan masa berbincang dengan komuniti kampung itu, kelmarin yang turut dihadiri Imam Mukim Batu Papan Ibrahim Ismail.

Dalam perbincangan dua jam itu, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai pengisian program, pembahagian tugas dan golongan yang bakal menerima bantuan.

Othman berkata, pemilihan lokasi terbabit mengambil kira bencana alam yang berlaku Disember lalu.

"Kami simpati dengan nasib menimpa mangsa banjir terutama di Mukim Batu Papan ini, justeru, sepakat mengadakan TKHM untuk meraikan mereka dan menyampaikan sumbangan.

"Pada 26 Jun iaitu pada Ramadan ke-9, kira-kira 150 anak yatim akan dibawa membeli-belah pakaian untuk menyambut Aidilfitri dan mereka juga akan dijamu berbuka puasa.

"Keesokannya pula akan berlangsung Penyampaian Bantuan Titipan Kasih dan Majlis Berbuka Puasa dijangka dihadiri Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan tetamu kenamaan lain," katanya.

Beliau berkata, bantuan juga akan diberi kepada 60 keluarga yang menjadi mangsa banjir dan kurang berkemampuan di sekitar mukim itu.

Pelbagai aktiviti sedang direncana sebagai pengisian program termasuk tazkirah oleh selebriti dakwah pilihan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan segmen perubatan Islam.

Ibrahim berkata, pihaknya menerima kunjungan TKHM dengan tangan terbuka dan bersedia memberi kerjasama.

Disiarkan pada: June 5, 2015 @ 9:08am
d