mutakhir

Projek banci Harimau Malaya

Putrajaya: Projek pelaksanaan Kaji Selidik Harimau Kebangsaan kali pertama akan dijalankan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi membuat bancian terhadap Harimau Malaya.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara (MBN) kedua yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra, di sini, semalam. Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel.

Menurut kenyataan MBN yang diedarkan selepas mesyuarat berkenaan, PERHILITAN dengan kerjasama kerajaan negeri yang dikenal pasti sebagai ‘Tiger Range States’ (TRS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengesan plot yang menjadi laluan keliaran harimau di taman negara dan negeri.

“Pelaksanaan kaji selidik ini boleh menentukan populasi dan habitat Harimau Malaya secara tepat serta melaksanakan tindakan di bawah Pelan Tindakan dan Pemuliharaan Harimau Negara (NTCAP),” katanya.

MBN juga bersetuju menjalankan usaha konservasi (pemeliharaan) menghalang kepupusan badak Sumatera dan hidupan liar terancam melalui Teknologi Reproduktif Termaju (ART) serta mengadakan kerjasama dengan Indonesia bagi tujuan itu.

Selain itu, katanya, usaha program pemeliharaan sumber perikanan darat di Semenanjung juga dipersetujui dan Jabatan Perikanan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan program, konservasi perikanan sungai, tasik dan semua perairan air tawar kerana ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Majlis juga bersetuju dan menimbang kerajaan negeri di Semenanjung melaksanakan usaha memelihara dan memulihara pokok buah-buahan hutan terpilih dan hutan tanah Persekutuan iaitu di luar Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang berkepentingan kepada fauna,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2015 @ 9:33am
d