mutakhir

Reman tiga hari jika ditangkap

Oleh Mohamad Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Mana-mana individu yang ditahan kerana memiliki, menyimpan atau menyembunyikan rokok seludup boleh direman tiga hari bagi membantu siasatan sebelum didakwa di mahkamah.

Tindakan tegas diambil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu menunjukkan agensi kerajaan terbabit serius menangani aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok seludup di negara ini yang turut menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang banyak.

Tindakan sama juga diguna pakai untuk membanteras penyeludupan minuman keras selaras dengan Akta Kastam 1967.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Matrang Suhaili berkata, pihaknya bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dalam membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan arak.

Katanya, melalui JKDM, pihaknya mengadakan Ops Outlet dan Ops Pacak yang bertujuan memastikan kegiatan penyeludupan rokok dan arak dipatahkan dan mereka yang bertanggungjawab didakwa di mahkamah.

Mengikut rekod Op Outlet sejak dilancarkan 2010 hingga Disember tahun lalu, 39,442 outlet diperiksa. Daripada jumlah itu, 8,668 outlet dikesan melakukan kesalahan membabitkan rampasan RM81.96 juta manakala 6,095 peniaga ditahan dan 2,110 didakwa di mahkamah.

Menurutnya, Malaysia kehilangan hasil RM1.9 bilion setahun akibat kegiatan menyeludup rokok selain RM500 juta lagi daripada aktiviti penyeludupan minuman keras.

“Rokok dan minuman keras paling kerap diseludup memandangkan cukai dikenakan ke atas barangan itu tinggi,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Ops Pacak 2015 peringkat Negeri Johor, di sini semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, JKDM mematahkan cubaan tiga lori yang membawa muatan rokok seludup dan minuman keras di dua lokasi berasingan membabitkan nilai cukai melebihi RM4 juta di negeri itu.

Matrang berkata, ketiga-tiga lori itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Jalan Ulu Tiram Kota Tinggi dan dua lagi di FELDA Air Tawar 2.

Disiarkan pada: June 5, 2015 @ 9:52am
d