mutakhir

Usaha bawa turun mangsa bermula

Kuala Lumpu: Usaha membawa turun mangsa terkandas di puncak Gunung Kinabalu akan dimulakan hari ini berikutan kabus tebal menjejaskan jarak penglihatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sebuah helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) EC725 sudah dihantar ke Sabah untuk meninjau kawasan Gunung Kinabalu dan Ranau bagi menyelamatkan pendaki yang terkandas.

Menurutnya, sejak semalam bantuan makanan dan air akan dihantar kepada pendaki Gunung Kinabalu yang terkandas di Laban Rata dan kawasan persinggahan di gunung berkenaan.

“Satu batalion Tentera Darat juga bersiap sedia untuk digerakkan ke kawasan bencana sekiranya diperlukan.

“Selain itu, sebuah pesawat Charlie C130 sudah diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke Kota Kinabalu untuk membawa pasukan SMART dan siap sedia untuk membantu tugasan bantuan kemanusiaan bencana (HADR),” katanya menerusi akaun Twitternya, semalam.

Menurut Hishammuddin, Kementerian Pertahanan juga sentiasa bersiap sedia untuk memberi bantuan perlu kepada kerajaan negeri Sabah.

Disiarkan pada: June 6, 2015 @ 10:13am
d