mutakhir

Pergiat kempen kesedaran

Kajang: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memandang serius aktiviti pembuangan sampah secara haram di daerah ini terutama kawasan taman perumahan dengan melakukan pelbagai tindakan penguatkuasaan dan kempen kesedaran kepada orang ramai.

Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awamnya, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, walaupun pelbagai usaha dijalankan pihaknya, sikap pihak yang tidak prihatin dan mementingkan diri sendiri antara punca permasalahan itu sukar diatasi.

“Bagaimanapun, kami ((MPKj) akan mempergiatkan lagi kempen kepada masyarakat termasuk di peringkat akar umbi bermula daripada pelajar sekolah hingga peringkat belia mengenai kepentingan menjaga alam persekitaran.

“Pada masa sama, langkah penguatkuasaan untuk mencari pesalah menerusi operasi dan intipan turut dijalankan di lokasi yang dikenal pasti,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurut beliau, perbuatan itu merangkumi kesalahan mengikut Undang-undang Kecil Pemungutan, Pelupusan dan Pembuangan Sampah MPKj 2007 yang memperuntukkan kompaun maksimum RM1,000, jika disabitkan kesalahan.

“Undang-undang itu bertujuan mengawal aktiviti pembuangan sampah-sarap haram di tempat yang tidak dibenarkan di samping menjelaskan mengenai tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil termasuk tindakan pendakwaan terhadap kesalahan berkenaan,” katanya.

Justeru, Izlan berkata, pihaknya amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dan mengubah tabiat buruk itu demi kesejahteraan bersama.

Disiarkan pada: June 7, 2015 @ 5:18am
d