mutakhir

Tamat tahaluf siyasi dengan DAP

Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Hairulazim Mahmud

Kuala Selangor: Muktamar Tahunan PAS ke-61 meluluskan usul tanpa bahas untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bagaimana menjelaskan, usul itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau berkata, tahaluf siyasi yang diputuskan sebelum ini tidak melalui keputusan muktamar sebaliknya berasaskan kesepakatan syura pimpinan parti.

“Usul itu belum ‘final’. Keputusan parti belum dicapai kerana usul berkenaan berkaitan dengan hukum dan tahaluf siyasi adalah langkah parti berdasarkan hukum Allah yang sejarahnya bermula pada 1986.

“Jadi, untuk bertahaluf ia bersandarkan hukum maka untuk keluar pun ia mesti bersandarkan hukum, kita tidak melalui muktamar pun sebelum ini,” katanya pada hari terakhir muktamar di Stadium Tertutup Kuala Selangor, semalam.

Terdahulu, penyataan usul menyebut Dewan Ulama menuntut dan menggesa PAS Pusat mempertegaskan kepada sekutu pakatan pembangkang supaya menghormati pendirian, polisi dan dasar parti masing-masing.

Usul itu menegaskan PAS Pusat hendaklah tidak menggadaikan dasar perjuangan parti demi mencapai matlamat dan kemenangan.

“PAS Pusat dan Majlis Syura hendaklah memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya kekal bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang,” menurut usul berkenaan.

Antara sebab utama usul kontroversi itu dikemukakan ialah berikutan keretakan prinsip kerjasama antara sekutu pakatan pembangkang berikutan kenyataan dan tindakan pimpinan tertinggi DAP yang tidak menghormati prinsip ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.

Selain itu, tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, namun mahu kekal meneruskan kerjasama dengan PAS dianggap penghinaan terhadap Presiden PAS.

Disiarkan pada: June 7, 2015 @ 5:23am
d