mutakhir

'Anak Sekolah' bakal terjah pasaran antarabangsa

Langkawi: Rambutan klon R191 atau ‘Anak Sekolah’ yang ditanam petani di Kampung Kubang Badak di sini, yang disifatkan bermutu tinggi dan terbaik di negara ini bakal menjengah pasaran negara China selepas mendapat permintaan daripada penggemar di negara berkenaan.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata, buah tempatan berkenaan sebelum ini pernah dipasarkan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada pertengahan 2011 sebagai percubaan sebelum mengorak langkah ke Singapura dan China.

“Rambutan itu antara tujuh jenis buah selain manggis, tembikai, kelapa, longan, durian dan betik yang sudah dibenarkan memasuki pasaran China dan sentiasa mendapat permintaan tinggi.

“Kita juga mendapat tempahan daripada beberapa pasar raya besar di negara itu untuk membeli rambutan ‘Anak Sekolah’ kerana dikatakan bermutu tinggi dengan penghantaran pertama dibuat pertengahan Julai ini,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian ladang kontrak rambutan di Kampung Kubang Badak di sini, semalam.

Pada majlis itu, FAMA diwakili Pegawai FAMA Daerah Jamal Othman manakala Baharom Sirat mewakili 90 peserta ladang kontrak berkenaan. Hadir sama Pengarah FAMA negeri Anuar Mohamed.

Beliau berkata, klon rambutan anak sekolah dari Ladang Kontrak Kampung Kubang Badak itu mempunyai beberapa kelebihan dan sesuai untuk dieksport ke luar negara.

“Selain mempunyai ketahanan, klon rambutan itu mempunyai rasa yang manis serta isinya lembut. Buah itu akan dieksport dalam kotak khas bagi menjamin ketahanannya sehingga seminggu dan mempunyai rasa segar,” katanya.

Ladang Kontrak Rambutan di Kampung Kubang Badak diusahakan di kawasan seluas 64 hektar oleh 90 petani yang juga projek perintis dalam menjadikan tanaman rambutan sebagai produk agropelancongan di pulau pelancongan itu.

Tahun ini, FAMA dijangka membeli sebanyak 200 metrik tan rambutan dengan nilai lebih RM200,000 daripada projek itu untuk dieksport ke China, Singapura dan Dubai berbanding sekitar 30 metrik tan pada tahun lalu.

Disiarkan pada: June 8, 2015 @ 5:33am
d