mutakhir

Kongsi panduan kenderaan setiap kali ke udara

Putrajaya: Memudahkan urusan rakyat dengan perkongsian ilmu berkaitan keselamatan jalan raya dan automotif menerusi corong radio menjadi keseronokan buat Pengarah Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Datuk Mohamad Dalib.

Bergelar juruhebah jemputan dari JPJ sejak 1991, di stesen radio KLfm bagi segmen JPJ dan Anda, Mohamad berkata, setiap minit diibaratkan proses pembelajaran dan hebahan kepada masyarakat mengenai perkembangan automotif negara.

“Saya mula bergelar juruhebah sambilan di KLfm ketika berusia awal 30-an atas inisiatif JPJ selama 15 minit. Selepas tiga tahun, saya melanjutkan pengajian ke luar negara dan peranan itu berhenti seketika.

“Pulang ke tanah air pada 1997, saya kembali aktif di radio. Kemudian, saya turut menerima pelawaan dan bekerjasama dengan beberapa stesen radio termasuk Traxx FM, Asyik FM dan Ikim.Fm.

“Pastinya fokus saya mengenai JPJ dan industri automotif tanah air setiap kali ke udara. Saya juga menerima maklum balas positif daripada pendengar menerusi panggilan telefon selama 15 minit.

“Kebanyakan pendengar ingin mendapatkan sedikit nasihat dan pandangan mengenai masalah teknikal kenderaan mereka, jadi saya tidak lokek berkongsikan sedikit panduan,” katanya.

Bagi Mohamad, tugasnya sebagai deejay sambilan adalah satu ibadat dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Malah, beliau turut berasakan pengalaman berkomunikasi bersama pendengar turut menyumbang manfaat dalam kerjayanya.

Menyentuh isu statistik kemalangan jalan raya di Malaysia, Mohamad mengambil peluang untuk memberi pendedahan serta tip selamat bagi mengelakkan berlaku kemalangan.

Bergelar orang tertinggi dalam jabatannya, beliau tidak melihat kesibukan di JPJ adalah penghalang buatnya untuk berkongsi kepakaran, pengetahuan dan ilmu secara langsung kepada masyarakat.

Jelasnya, pembahagian masa dan penyusunan jadual kerja teratur membolehkan beliau melakukan dua amanah dalam satu masa.

Sekiranya, Mohamad ditugaskan untuk ke luar negara termasuk menghadiri persidangan mewakili JPJ, terlebih dulu beliau membuat rakaman demi mengelakkan slotnya tergendala bagi tempoh tertentu.

Disiarkan pada: June 8, 2015 @ 5:37am
d