mutakhir

Ramai-ramai laksa kebok

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: “Sejak lebih 10 tahun lalu apabila menjelang Ramadan, penduduk kampung akan berkumpul dan menikmati hidangan laksa seperti ini secara beramai-ramai,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Kejir, Mohd Marzuki Tahir, 48.

Menurutnya, biasanya penduduk kampung berkumpul di balai raya atau masjid, tetapi tahun ini tradisi itu diubah dan diadakan di tepi sungai kampungnya.

Katanya, selain dapat mengingati ketibaan Ramadan, program itu juga bertujuan mengimbau kenangan ketika zaman era 1960-an dan 1970-an setiap kali selesai musim menuai padi.

“Orang kampung ketika era itu berkumpul beramai-ramai dan menyediakan menu laksa di tepi sungai secara gotong-royong.

Ketika itu beras yang baru dituai dibawa ke tepi sungai dan diproses sehingga menjadi laksa, di kampung kami ia lebih popular dengan panggilan ‘laksa kebok’ sebelum menjamu selera beramai-ramai.

“Namun, kini tanaman padi sudah tidak diusahakan penduduk kampung dan golongan muda juga sudah tidak berpeluang untuk merasai suasana seperti 30 hingga 40 tahun lalu.

“Sebab itu, pada tahun ini kami melakukan kelainan dengan mengadakan program di tepi sungai dan tidak seperti biasanya yang diadakan di balai raya dan surau,” katanya ketika ditemui pada Program Transformasi Warisan Bangsa di Kampung Kuala Kejir, di sini, semalam.

Menurutnya, pelbagai peralatan tradisional untuk membuat laksa turut dibawa ke tepi sungai kampung itu antaranya kebok, alu, lesung kayu curang dan membina lubang api yang dipanggil gemor.

Katanya, aktiviti perjumpaan penduduk kampung sebelum menyambut Ramadan dan mengimbau kenangan itu sudah diadakan sejak lebih 10 tahun lalu dan ia akan diteruskan bagi mengeratkan ikatan persaudaraan dalam kalangan penduduk.

Marzuki berkata, program itu dihadiri lebih 300 penduduk kampung dan turut disertai 40 pelajar dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang membabitkan tiga acara iaitu membuat laksa kebok, mini sukan air dan aktiviti menghambat ikan.

Penduduk kampung, Gayah Mohd, 82, berkata, dia amat gembira melihat aktiviti membuat laksa kebok di tepi sungai kerana sejak sekian lama ia sudah tidak diadakan.

“Memang penduduk kampung itu ketika zaman mudanya akan mengumpul sebahagian hasil pagi yang dituai sebelum diproses menjadi laksa kebok.

“Hari ini, saya dapat melihatnya kembali selepas 30 hingga 40 tahun lalu, pengalaman seperti ini amat meninggalkan kesan bagi mengeratkan persaudaraan dalam kalangan penduduk,” katanya.

Pelajar, Wan Zainab Wan Ali, 26, berkata, dia berpeluang melihat proses membuat laksa secara tradisional yang sebelum ini tidak pernah diketahuinya.

“Selain itu, program seperti ini dapat mendedahkan golongan muda terutama pelajar mengenai cara masyarakat kampung menjalankan aktiviti hanya menggunakan kaedah alam semula jadi,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2015 @ 5:43am
d