mutakhir

16 mayat dikenal pasti

Ranau: Pasukan mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu, di sini, sudah mengenal pasti identiti 16 mayat yang ditemui.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sehingga semalam usaha membawa turun enam bungkusan plastik mengandungi anggota tubuh itu dilakukan secara berperingkat.

“Sehingga hari ini (semalam), pasukan mencari dan menyelamat mengesahkan 16 mayat sudah dikenal pasti termasuk taraf warga negara.

“Jumlah itu membabitkan enam rakyat tempatan, tujuh warga Singapura dan masing-masing seorang warga Filipina, Jepun dan China.

“Setakat ini, kita masih meneruskan operasi mencari baki dua lagi warga Singapura yang dilaporkan hilang,” katanya.

Masidi berkata, identiti mangsa yang sudah dikenal pasti belum boleh didedahkan kepada umum sehingga semua ahli keluarga mereka dimaklumkan terlebih dulu.

“Empat daripada enam bungkusan mengandungi tubuh dan cebisan anggota badan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu manakala dua lagi (bungkusan) masih dalam perjalanan turun,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2015 @ 6:09am
d