mutakhir

Jerut leher lepas bertengkar dengan isteri

Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditemui dalam keadaan lehernya terjerut kabel elektrik sebelum disahkan mati tidak lama kemudian dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Jinjang Baru, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai menamatkan riwayatnya selepas berlaku salah faham dengan isterinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Othman Abu Bakar berkata, lelaki itu pada mulanya bertengkar dengan isterinya di dalam bilik sebelum dia bersendirian di dalam bilik itu.

Menurut beliau, isteri mangsa yang berada di ruang tamu bersama dua anaknya berasa hairan kerana suaminya masih tidak keluar bilik sebelum membuat pemeriksaan di bilik berkenaan.

“Isteri mangsa kemudiannya menemui suaminya itu tidak sedarkan diri dan mendapati lehernya terjerut dengan kabel elektrik.

“Isteri mangsa meminta bantuan abang iparnya yang berada di bilik sebelah untuk menghantar mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Othman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di HKL.

Disiarkan pada: June 8, 2015 @ 6:16am
d