mutakhir

Pijak isteri culik anak

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang suami sanggup berpakat dengan adik lelakinya untuk menculik anak lelaki tunggalnya berusia setahun yang dalam jagaan isterinya berusia 26 tahun selepas bertandang ke rumah wanita itu di Taman Senawang di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, lelaki berusia 33 tahun ditemani adiknya berusia 31 tahun pergi ke rumah wanita itu dengan alasan untuk bermain dengan anaknya sebelum melarikan kanak-kanak itu selepas menendang wanita berkenaan serta mengugut mahu membakar kereta mangsa.

Difahamkan, pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung walaupun masih belum bercerai.

Sumber berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan, suspek terus memasuki rumah dan menemui isteri serta anak lelakinya dengan memberi alasan untuk bermain dengan anak tunggalnya itu.

Beliau berkata, suspek secara tiba-tiba terus bertindak kejam dengan menendang mangsa dari belakang dan memijak perut wanita itu.

Katanya, suspek terus mengambil anak dan menyerahkan kepada adiknya yang menunggu dalam van di luar rumah.

“Adik suspek memecut laju melarikan kanak-kanak itu manakala suspek bertengkar dengan isterinya sebelum mengugut mahu membakar kereta dan mengganggu hidup wanita itu,” katanya.

Menurutnya, suspek meninggalkan mangsa berseorangan dalam keadaan kesakitan sebelum ke Balai Polis Senawang di sini, untuk membuat laporan kejadian itu kerana bimbangkan keselamatan diri serta anak tunggalnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, susulan laporan dibuat mangsa, polis menahan suspek di Senawang.

Beliau berkata, polis turut menemui kanak-kanak lelaki yang dilarikan itu dan diserahkan semula kepada ibunya manakala suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Disiarkan pada: June 8, 2015 @ 6:29am
d