mutakhir

Empat lelaki kena tahan

Oleh Suraya Roslan dan Rizanizam Abd Hamid

Kuala Lumpur: Pembanterasan penjualan rokok seludup di kedai runcit terus digempur anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam operasi di dua lokasi berasingan di Gombak dan Puchong, semalam, empat peniaga kedai runcit termasuk tiga warga asing ditahan manakala 60 karton rokok seludup pelbagai jenama dirampas.

Dalam serbuan pertama jam 2 petang di Puchong, JKDM merampas 34 karton rokok seludup jenama Gudang Garam, Zon King, Black Mild dan U2 di dua kedai runcit.

Dua lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia 50-an dan warga asing berusia 20-an ditahan.

Pemeriksaan mendapati rokok seludup itu dipamerkan di kaunter hadapan kedai manakala selebihnya disorok dalam stor.

Dalam serbuan kedua di kedai runcit di Gombak, pada jam 3 petang, JKDM menahan dua lagi lelaki warga asing berusia 20-an dan merampas 26 rokok seludup jenama John, U2 dan Canyon.

Empat lelaki terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menjual rokok seludup yang jika sabit kesalahan membawa hukuman denda sehingga 10 kali ganda nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, sepanjang Op Outlet 2015 bermula Januari sehingga 31 Mac lalu, JKDM merampas 5.5 juta rokok seludup dan menahan 196 individu.

Sebanyak 1,056 premis diperiksa dengan jumlah nilai rokok seludup dirampas mencecah RM4.78 juta dengan anggaran duti dan cukai kastam dielak RM32.6 juta.

JKDM meneruskan penguatkuasaan membanteras kegiatan penyeludupan rokok seludup.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu boleh menghubungi talian JKDM 1800-88-8855.

JDKM sebelum ini memberi amaran mana-mana individu yang ditahan kerana memiliki, menyimpan atau menyembunyikan rokok seludup boleh direman tiga hari bagi membantu siasatan sebelum didakwa di mahkamah.

Tindakan tegas itu sekali gus menunjukkan agensi kerajaan terbabit serius menangani aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok seludup di negara ini yang turut menyebabkan kerajaan kehilangan banyak hasil.

Disiarkan pada: June 9, 2015 @ 8:43am
d