mutakhir

Kabus tebal halang usaha ke puncak

Ranau: Usaha membawa naik enam ahli geologi menggunakan helikopter ke puncak Gunung Kinabalu, semalam, gagal akibat kabus tebal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Nordin Pauzi berkata, dua helikopter disediakan bagi membawa kumpulan terbabit melakukan kajian bentuk muka bumi di puncak gunung itu.

“Sepatutnya hari ini (semalam) 30 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada JBPM, SMART Team, malim gunung, Taman-Taman Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli geologi dibawa ke puncak gunung.

“Bagaimanapun, sehingga jam 5 petang (semalam), usaha tidak dapat diteruskan memandangkan kabus tebal menyelubungi kawasan berkenaan sejak awal pagi,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, selain menghantar kumpulan terbabit, operasi itu bertujuan melakukan misi pencarian secara terperinci di lokasi kejadian.

“Dalam operasi mencari dan menyelamat semalam (kelmarin), tiada kelihatan sebarang tanda penemuan mangsa atau cebisan mayat sehingga jam 6 petang.

“Bagaimanapun, pencarian terperinci perlu diteruskan bagi memastikan tiada lagi mayat atau cebisan badan berada di situ,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menunggu maklumat daripada hospital dan PDRM.

“Hasil pemeriksaan itu, barulah kita boleh mengetahui jumlah sebenar mayat ditemui,” katanya.

Nordin berkata, operasi diteruskan sehingga pihak berkuasa berpuas hati selepas semua mangsa ditemui.

Disiarkan pada: June 9, 2015 @ 9:29am
d