mutakhir

Amuk jiran dapat kunci

Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Hanya kerana ibu menyerahkan kunci rumah kepada jiran, seorang lelaki bertindak gila apabila cuba menembak wanita itu menggunakan senapang patah dalam kejadian di rumah mereka di Pujut 3, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa yang berusia 52 tahun terselamat apabila senapang patah itu gagal berfungsi.

Ketua Polis Daerah Miri Senior Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, suspek berusia 37 tahun mengacukan senapang patah berisi peluru sambil mengugut ingin menembak ibunya.

Katanya, ahli keluarga lain dan jiran cuba mententeramkan suspek, tetapi tidak berjaya malah lelaki itu terus mengamuk.

“Bimbang dengan tindakan suspek, ahli keluarga segera menghubungi polis bagi mengawal keadaan. Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek bertindak agresif dan enggan menyerah diri.

“Selepas dipujuk, suspek menyerah diri, dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Gan berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, suspek berada di bawah pengaruh dadah.

Katanya, punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati apabila ibunya menyerahkan kunci rumah kepada jiran ketika wanita itu mahu keluar melawat bapanya.

“Suspek yang berang dengan tindakan ibunya itu terus mengamuk hingga sanggup mengacukan senapang ke arah ibunya.

“Polis merampas senapang patah yang digunakan suspek dan pemeriksaan awal mendapati suspek sudah menarik picu senapang, tetapi bernasib baik kerana tidak meletup,” katanya.

Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 9, 2015 @ 11:14am
d