mutakhir

Sedia RM10 juta untuk baik pulih

Ranau: Kerajaan meluluskan peruntukan RM10 juta kepada Taman-Taman Sabah (TTS) bagi tujuan membaik pulih kerosakan di sekitar Gunung Kinabalu akibat gempa bumi, Jumaat lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, peruntukan itu bagi membolehkan kerja memperbaiki kemudahan yang rosak supaya aktiviti pendakian dapat dijalankan seperti biasa pada masa hadapan.

“Gunung Kinabalu bukan saja menjadi tarikan utama kepada negeri ini, malah dikenali di seluruh dunia.

“Satu kerugian besar kepada Sabah dan dunia sekiranya kejadian seperti ini (gempa bumi) menyebabkan kita tidak dapat meneruskan aktiviti pelancongan di Gunung Kinabalu,” katanya ketika melakukan Lawatan Kerja dan Penyampaian Sumbangan Bantuan Gempa Bumi di Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu, Kundasang, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Najib berkata, kerajaan turut membincangkan beberapa langkah susulan bagi memulihkan Taman Kinabalu termasuk berkaitan aspek keselamatan.

“Antaranya cadangan menambah alat pengesan berteknologi tinggi terkini bagi mengesan sebarang gerakan atau gempa bumi.

“Tidak ada teknologi di dunia yang mampu meramal gempa bumi, sebaliknya hanya boleh memantau bencana ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2015 @ 7:48am
d