mutakhir

Pakar bedah didakwa

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang pakar bedah jantung dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mencederakan isterinya, Mac lalu.

Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.

Mengikut pertuduhan, Raja Amin didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera kepada Karina Ahmad Shah, 46, di sebuah rumah di Persiaran Ara Bangsar, di sini, pada 1.30 pagi, 9 Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya K Vasugi manakala tertuduh diwakili peguam Adi Zulkarnain Zulkafli.

Terdahulu, Vasugi menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun Adi Zulkarnain memohon mahkamah memberikan jaminan yang ringan atas alasan tertuduh menanggung lima anak dan sebagai pakar bedah, tertuduh bertugas menyelamatkan nyawa orang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: June 10, 2015 @ 10:06am
d