mutakhir

Tapis lagi ketat

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Bermula Isnin ini, semua pekerja asing yang bakal bekerja di negara ini perlu melalui pemeriksaan kesihatan di klinik yang mempunyai kemudahan BioMedical untuk tapisan keselamatan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan supaya modul BioMedical dan permohonan secara elektronik bagi Visa Dengan Rujukan (eVDR) untuk Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS) perlu dilaksanakan sepenuhnya.

Menurutnya, ia juga dilaksanakan untuk mengesahkan permohonan pekerja terbabit sebelum dibuat pemeriksaan kesihatan.

“Pada masa sama, tiada lagi permohonan secara manual di kaunter imigresen.

“Penggunaan modul eVDR pula diwajibkan termasuk pembelian insurans untuk pekerja asing. Modul eVDR adalah platform bagi permohonan surat kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR) secara dalam talian bertujuan memudahkan urusan majikan tanpa perlu menunggu di kaunter,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, semua kaunter manual imigresen akan dibuka dalam tempoh peralihan selama 15 hari sebelum ditutup sepenuhnya pada 1 Julai ini.

Mustafa berkata, menerusi pelaksanaan itu, tiada caj perkhidmatan tambahan dikenakan untuk modul eVDR.

Katanya, semua majikan dikehendaki membuat semakan nombor telefon bimbit dan alamat e-mel dalam sistem Jabatan Imigresen bagi memastikan kesahihan data.

Disiarkan pada: June 10, 2015 @ 10:46am
d